BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, August 31, 2010

HIJAB PERISAI WANITA......

Terdetik di hati saya ni untuk bercerita mengenai hijab.  Begitu besar rupa-rupanya peranan sehelai hijab buat wanita. Tapi kenapa masih ada segelintir wanita yang tidak begitu mengambil berat mengenai hijab dan tidak mengendahkan tentang hijab yang terlekat di tubuh mereka? Tidak boleh ke tutup betul-betul setiap pelosok tubuh anda tu dengan sempurna?

Alasannya hijab yang menutup aurat dan longgar tak mengikut trend zaman sekarang.
Mengapa boleh jadi begitu? Mengapa boleh berfikiran sebegitu rupa? Hina sangat ke hijab yang menutup aurat tu?

Melihatkan situasi zaman sekarang yang semakin maju, banyak perubahan yang telah membawa manusia ke arah berfikiran semakin terlampau maju sehingga begitu terikut dengan budaya barat. Dalam situasi dan keadaan sekarang, manusia hanya meletakkan Islam sebagai nama sahaja. Begitu sedih dan sakit hati memikirkan pemikiran kolot manusia sebegini.




Sebelum itu baik saya perkenalkan dahulu apa sebenarnya hijab tu.. Hijab bererti tabir , tirai atau dinding dan digunakan juga dengan erti kata perselindungan buat wanita di dalam Islam daripada pandangan lelaki ajnabi.
Rasululullah SAW pernah menyatakan perihal tentang  aurat wanita yang mesti diselindungkan.
Firman Allah SWT : “ katakanlah ( wahai Muhammad ) kepada orang lelaki yang beriman: hendaklah mereka menahan( sebahagian ) daripada pandangan mereka  dan memelihara kemaluan mereka yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka.Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat .”
( surah An-Nur ayat 30)
Firman Allah yang menerangkan akan batas-batas aurat wanita ialah : 
وَقُل لِّلۡمُؤۡمِنَـٰتِ يَغۡضُضۡنَ مِنۡ أَبۡصَـٰرِهِنَّ وَيَحۡفَظۡنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَا‌ۖ وَلۡيَضۡرِبۡنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِہِنَّ‌ۖ وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوۡ ءَابَآٮِٕهِنَّ أَوۡ ءَابَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوۡ أَبۡنَآٮِٕهِنَّ أَوۡ أَبۡنَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوۡ إِخۡوَٲنِهِنَّ أَوۡ بَنِىٓ إِخۡوَٲنِهِنَّ أَوۡ بَنِىٓ أَخَوَٲتِهِنَّ أَوۡ نِسَآٮِٕهِنَّ أَوۡ مَا مَلَكَتۡ أَيۡمَـٰنُهُنَّ أَوِ ٱلتَّـٰبِعِينَ غَيۡرِ أُوْلِى ٱلۡإِرۡبَةِ مِنَ ٱلرِّجَالِ أَوِ ٱلطِّفۡلِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يَظۡهَرُواْ عَلَىٰ عَوۡرَٲتِ ٱلنِّسَآءِ‌ۖ وَلَا يَضۡرِبۡنَ بِأَرۡجُلِهِنَّ لِيُعۡلَمَ مَا يُخۡفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ‌ۚ وَتُوبُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ

maksudnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
( surah An-Nur ayat 31)

Daripada ayat al-Qura’an di atas, Allah swt memerintahkan wanita dalam kalangan umat Islam supaya menutup aurat mereka daripada pandangan lelaki yang halal baginya untuk dikahwini. Tapi, mengapa masih ramai yang tidak mengendahkan perintah ini? Ternyata umat Islam pada hari ini sudah tidak takut akan Allah swt yang menciptanya dan lupa asal usul datangnya jasad yang dipinjamkan daripada Allah swt. Ketahuilah sahabat-sahabatku sekalian, jasad yang dipinjamkan oleh Allah swt merupakan permata buat kita semua. Begitu berharga dan susah untuk mendapatkan kembali jika sudah kehilangannya. Hargailah ia dan balutilah ia dengan pakaian yang sewajarnya.  Jangan biarkan ia menjadi kaca yang mudah didapati, murah dan mudah berkecai jika tidak pandai menjaganya.
Samada sedar atau tidak, sebenarnya wanita yang tidak menutup aurat itu bukanlah menunjukkan kecantikan fizikalnya sebenarnya, namun hakikatnya mereka telah mendedahkan aurat yang mampu merangsang syahwat seorang insan bernama lelaki. Begitulah hakikatnya….. Seperti yang diketahui Allah telah mengurniakan wanita 9 nafsu dan 1 akal. Manakala lelaki pula sebaliknya. Sebab itulah lelaki tak mampu nak kawal perasaan nafsunya bila berhadapan dengan wanita yang seksi. Aduhai, kesian betul kaum adam, terpaksa menanggung dosa dengan  tayangan-tayangan free kat depan mata.
Kebanyakan wanita berfikir yang lelaki ni lagi tertarik kepada wanita yang cantik dan sedap mata memandang, hot dan ada susuk tubuh yang menarik. Wanita biasa-biasa ni tak dipandang langsung. Mengapa boleh berfikiran sebegitu rupa? Kecantikan luaran itu tidak penting sebenarnya, yang pentingnya adalah kecantikan iman dan hati wanita itu sendiri yang diutamakan. Tengok sahaja gelagat kebanyakan lelaki, diorang sekadar ‘usha-usha’ je perempuan yang seksi-seksi depan mata diorang. Cuba tanya diorang, jika diberi kesempatan untuk terus hidup ni, adakah awak nak kahwin dengan perempuan yang seksi dan menayangkan auratnya kepada khalayak ramai? Mesti kebanyakan darinya menolak.



Aurat juga meliputi suara dan lenggang lenggok wanita. Hakikatnya suara dan cara jalan wanita juga perlu dihijabkan kerana ia turut dikategorikan berdosa jika sengaja didedahkan kepada yang tidak sepatutnya.
Ia hendaklah di jaga dan tidak  boleh sengaja mendedahkannya untuk menarik perhatian lelaki secara sengaja atau tidak sengaja, seperti gaya pertuturan yang dimanja-manja atau penggunaan perkataan yang memberahikan. Firman Allah taala yang bermaksud:
"Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian itu boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk terhadap kamu) dan berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan). "(Surah Al-Ahzab: 32)
Sebahagian ulama menjadikan ayat ini sebagai dalil bahawa suara wanita adalah aurat juga. Namun semua bersetuju, walaupun di kalangan pihak yang berpendapat suara bukan aurat bagi wanita, bahawa wanita tidak boleh bertutur dengan gaya yang boleh menimbulkan tarikan lelaki terhadapnya.

*Terdapat juga persoalan mengenai bolehkah wanita berdakwah melalui nasyid...?

hati saya tertarik dengan artikal yang dipersembahkan oleh sahabat saya diblognya mengenai cinta dan seks. begitu terperinci beliau menceritakan sifat seorang lelaki terhadap wanita. 

wahai wanita, renung2kanlah...



Tuesday, August 24, 2010



TAK SANGGUPKU MENANGGUNG RINDU…
RINDUNYA………!!!

Apa yang dimaksudkan dengan rindu sebenarnya? Kenapa perlu merindu?
Rindu lahir dari hati yang merangkumi aspek jiwa dan perasaan terhadap seseorang atau sesuatu Perasaan jiwa ini biasanya menjadi ungkapan dalam mainan hidup terutamanya kepada para muda-mudi kita.

Secara semulajadinya manusia diciptakan oleh Allah swt dengan perasaan rindu yang lahir daripada hati. Sungguh indah sebuah kerinduan itu jika manusia betul-betul mencorakkannya dengan sempurna dan pada jalan yang benar. Dengan adanya sifat kerinduan dalam hati, maka hati kita akan merasa tidak akan sempurna jika tidak menunaikan apa yang terngidam rindu di hati. Semakin lama kita tidak berjumpa ataupun sukar digapai sesuatu yang kita rindukan, maka semakin rindu dan semakin ingin bertambah harap pada sesuatu.


Secara amnya, rindu biasanya didefinisikan dan dikaitkan dengan sesama manusia. Umpamanya ibu merindukan anaknya, perasaan rindu sesama keluarga, rindu di antara rakan dan taulan dan juga rindu merindu di antara suami dan isteri.rindu seperti ini dibenarkan oleh Islam selagi terwujudnya batasan agama di antara sesama manusia itu.

Namun apa yang menyedihkan pada hari ini, kebanyakan manusia tidak memahami maksud sebenar rindu itu dalam diri mereka sendiri dan juga untuk agama yang mereka sanjungi. Jangan menyatakan anda sebagai muslim atau muslimah sejati jika anda tidak benar-benar memahami erti rindu sebenarnya dalam Islam. Hal ini biasanya berlaku kepada golongan remaja begitu asyik dibuai melodi cinta sesama hati. Tahukah sahabat-sahabat sekalian bahawa cinta sebelum disahkan sebagai suami isteri belum mendapat keredhaan Illahi? Nauzubillahi min zalik. Bukan setakat cinta tanpa redha Illahi sahaja dimurka oleh Allah swt, malah wujudnya perasaan rindu sesama pasangan yang belum disahkan dalam akad nikah turut dikategorikan sebagai ZINA…. YA ALLAH…. Tidak takutkah wahai sahabat-sahabatku dengan dosa zina yang wujud dalam hati sahabat selama ini?


Sebagai diketahui umum, dalam al-Qur’an ada menyatakan ayat yang menyentuh mengenai perbuatan terkutuk ini. Firman Allah swt:

وَلَا تَقۡرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓ‌ۖ إِنَّهُ ۥ كَانَ فَـٰحِشَةً۬ وَسَآءَ سَبِيلاً۬
Bermaksud: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).
                                                                                                           (Al-Isra’: ayat 32)

Namun  apa yang dikesalkan terhadap muslimin pada hari ini adalah hanya memandang kosong sahaja peringatan Allah swt di atas dan tidak mahu dititipkan di dalam hati mereka sendiri akan takutnya dosa dan azab dari Allah swt terhadap kesalahan yang dilakukan . Bagi mereka, mereka lebih seronok dan bahagia melakukan perkara yang jelas ketara tidak disukai oleh Allah swt. Mereka tidak takut untuk terus melakukan dosa zina walaupun semakin hari umur kita semakin menghampiri kematian. Tidak takutkah anda jika tiba-tiba maut menjemput anda dalam keadaan yang masih dinodai dosa akibat dosa zina hati yang anda lakukan?
Dalam hadis baginda Rasulullah saw telah memperincikan mengenai jenis-jenis zina. Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Nabi saw. bersabda :
Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menetapkan nasib anak Adam mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat,sedangkan faraj (kemaluan) hanya menuruti atau tidak menuruti[1]

Dalam hadis Nabi di atas memberi pengertian yang meluas dan perlu di fahami oleh umat Islam sepenuhnya. Apabila kita memandang si dia dengan sengaja, menatapi wajahnya, dan sebagainya, zina mata berlaku. Apabila lidah kita digunakan untuk mengeluarkan kata-kata manis serta puitis, untuk memenangi hati si dia, membuatkan si dia tertarik kepada kita, lidah berzina. Apabila kita mendengar serta menghayati kelunakkan suaranya, telinga berzina. Apabila berpegangan tangan, berjalan bersama ke arah menghampiri zina, tangan dan kaki berzina. Tetapi, yang paling bahaya ialah, apabila kita merindui si dia, memikirkan tentangnya, kecantikannya, ketampanannya, sifat penyanyangnya, betapa kecintaannya kepada kita, zina tetap berlaku. Biarpun tidak bersua dari segi pancaindera, hati boleh berzina. Tidak mungkin sesuatu hubungan percintaan itu tidak melibatkan penglihatan, percakapan, pendengaran dan perasaan. Sudah terang lagikan bersuluh, percintaan sebelum berkahwin dan ber‘couple’ adalah menghampiri zina dan hukumnya adalah HARAM.

Bagi yang belum terjebak dalam soal cinta sebelum nikah ini, adalah dinasihatkan jangan sekali-kali terasa ingin mencuba dalam dunia cinta tanpa redha Illahi ini. Susah untuk meninggalkan suatu perbuatan maksiat seperti ini setelah merasai kenikmatannya. Silap haribulan, keterlanjuran boleh berlaku dalam diri. Bagi yang sudah terjebak, sedang, ataupun yang mula berjinak-jinak dengan percintaan, sedarlah. Segeralah kita meninggalkan perbuatan maksiat yang tidak diredhai lagi dimurkai Allah ini. Tiada gunanya kita terus melakukan dosa demi meneruskan hubungan terlarang ini demi mendapatkan kebahagiaan duniawi yang sementara ini. Hanya satu jalan sahaja yang menghalalkannya iaitu melalui ikatan pernikahan.

            Sesungguhnya, memang diakui setiap manusia mempunyai kelemahan tersendiri. Namun adalah lebih baik setiap kelemahan itu diperbaiki dan dimuhasabah dalam diri agar diri kita tidak terus dihanyut oleh kerinduan yang diharamkan di sisi agama dan Allah swt. 

 

Monday, August 23, 2010










ADUHAI,,, SUSAHNYA BANGUN SAHUR…….

Rasulullah SAW bersabda, “Sahur adalah makanan berkah, maka jangan kalian tinggalkan walaupun salah seorang dari kalian hanya meneguk seteguk air, kerana Allah dan para malaikat berselawat terhadap orang-orang yang bersahur”.
( Hadis riwayat Ibnu Abu Syaibah dan Ahmad)



Sahur bermaksud bangun dalam tempoh menjelang fajar dan sebelum subuh untuk menjamu sedikit makanan bagi menunaikan ibadah puasa pada keesokan harinya. Amalan bersahur merupakan salah satu amalan sunnah yang diamalkan oleh Rasulullah.

Jadi, bersahur merupakan satu amalan yang penting bagi seseorang yang berpuasa terutamanya dalam bulan yang penuh barakah iaitu Ramadhan al-Mubarak. Namun, tidak ramai yang mengambil berat dalam soal bersahur kerana bagi mereka amalan ini hanya sunat sahaja. Mereka malas untuk membangkitkan diri untuk menjamah makanan walau ingin berpuasa pada keesokkan harinya. Kita perlu sedar bahawa sebenarnya amalan bersahur ini penting untuk kesihatan walau  hukumnya adalah sunat.

Sabda Rasulullah saw bermaksud : “Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada berkat.”
 (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, Tarmizi Nasai dan Ibnu Majah)


Hadis ini menyatakan amalan sahur dikaitkan dengan keberkatan yang mempunyai rahmat, kebaikan serta restu Illahi.
Amalan sahur ini merupakan satu ibadah yang membezakan puasa umat Islam dengan puasa orang Yahudi dan Nasrani (ahli kitab). Oleh itu, tidak hairanlah jika puasa umat Islam itu boleh dikatakan lain dari yang lain dan lebih sempurna berbanding agama lain kerana mempunyai amalan sahur. 

Sabda Rasulullah saw bermaksud : “Makanlah Sahur, sekalipun dengan seteguk air. 
 (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Hadis di atas menyarankan umat Islam agar menitik beratkan amalan bersahur samada menjamah sedikit sahaja makanan ataupun minuman walaupun hanya seteguk air.

Selain daripada bersahur, kita juga disarankan supaya melambatkan waktu bersahur kerana ianya juga salah satu amalan yang turut dilakukan oleh Rasulullah saw dan para sahabat. Ia juga turut dikategorikan sebagai satu amalan sunat di sisi agama Islam. 

Sabda Rasulullah saw : “Sentiasa umatku dalam kebaikan selama mereka mahu bersegera berbuka puasanya dan mengakhirkan makan sahurnya”
 (Riwayat Imam Ahmad)

Melambatkan sahur di sini bermaksud bersahur ketika menghampiri waktu Subuh. Terdapat kajian menyatakan pengambilan makanan yang paling baik dalam waktu 24 jam ialah sarapan pada awal pagi. Bersarapan pagi amat penting bagi masyarakat bagi memelihara taraf kesihatan seseorang berbanding pengambilan makanan pada waktu lain. Kajian oleh Dr. Mark Pereira dan rakannya dari Pusat Perubatan Harvard mendapati mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi untuk menjadi gemuk, mengalami sakit jantung dan juga berisiko menghidap penyakit kencing manis.

Kajian sama juga menunjukkan mereka yang sentiasa bersarapan pagi pula bakal menanggung risiko 50 peratus lebih rendah diserang masalah kesihatan berkaitan lebihan gula dalam darah berbanding dengan mereka yang jarang mengamalkan sarapan pagi.

Oleh itu, daripada kajian ini bolehlah ditafsirkan betapa pentingnya bersahur pada waktu pagi terutamanya terhadap kanak-kanak yang berpuasa. Hal ini kerana, kanak-kanak bakal mendapat kesan yang lebih negatif jika tidak mendapatkan bekalan untuk perut pada waktu pagi memandangkan mereka masih kecil dan mempunyai metabolisma yang belum kuat.

Kajian terkini menunjukkan apabila glukosa dalam darah menurun selepas bangun tidur dan keadaan ini berterusan kerana tidak bersarapan pagi, kanak-kanak bakal menghadapi masalah memberi tumpuan terhadap pelajaran mereka.

Tambahan daripada itu, satu kajian oleh Dr Theresa Nicklas dari Kolej Perubatan Baylor dan rakannya ke atas 700 pelajar di Louisiana, menunjukkan mereka yang tidak bersarapan pagi menanggung risiko dua kali ganda mengalami kekurangan zat besi dalam darah. Keadaan ini akan menyebabkan penyakit anemia (penyakit berkaitan kekurangan hemoglobin dalam darah). Hal ini dilaporkan oleh Kerry Neville dari Chicago Tribune pada 24 September 2001.

Natijahnya, mereka yang berpuasa tanpa mengabaikan amalan sahur tidak akan mendapat kemudaratan terhadap puasa mereka berdasarkan kajian itu. Lebih daripada itu, bersahur adalah ibadah kerana ia adalah sunnah dan waktu sahur juga masa yang dipenuhi keberkatan.





Tuesday, August 17, 2010



Syok sangat ke merokok ni??


BERHENTILAH, tak ada faedahnya menghisap rokok...” kata mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi, dalam satu kempen antimerokok yang pernah dirasmikannya. < Harian Metro, 16 Ogos 2010, Isnin>

Kenapa perlu merokok? Best sangat ke dengan telan asap rokok tu? Rasa apa dengan asap rokok tu?

Bagi perokok semestinya banyak jawapan yang akan diberi.. Saya pernah mendengar jawapan daripada seorang pelajar sekolah yang datang membeli rokok di kedai runcit nenek saya apabila diajukan soalan daripada sepupu saya,, " Best kat mana hisap rokok tu?". Budak tu dengan slumber menjawab, " macam makan nasi lah..." sambil berlalu pergi.. Saya berfikir sejenak, 'begitu kuat penangan rokok ni.. astaghfirullah'.. Dari dulu sampai sekarang, dah pelbagai ikhtiar dan kempen yang dilakukan oleh pelbagai agensi untuk menyedarkan masyarakat yang menjadikan rokok sebagai sebahagian dalam hidup mereka.. Namun tetap juga dengan kehidupan mereka dengan membakar duit semata-mata untuk mendapatkan rokok.. Tidakkah ianya merupakan salah satu amalan yang boleh dikatakan pembaziran? Membakar duit semata-mata untuk menghilangkan strees dengan merokok.. Kenapa tak hilangkan strees dengan menunaikan solat sunat ataupun mengagongkan kitab Illahi? Tambahan sekarang ini kita sedang berada dalam penerbangan Ramadhan Kareem.. Begitu indah sekiranya kita betul-betul memanfaatkan suasana Ramadhan dengan melebihkan Ibadah dan mengurangkan pembaziran..





Bersempena Ramadhan yang mulia ini, kita sebagai hamba-Nya adalah lebih baik berperang untuk kebaikan diri dan juga orang sekeliling kita dengan menjauhkan diri dari rokok. Mungkin dengan adanya kekuatan iman dan takwa yang dijana melalui ibadat puasa dapat mengatasi masalah ketagihan merokok. Bagi individu yang tergolong dalam ketagihan rokok, mungkin sukar untuk berpisah daripada rokok. Pada kebiasaannya perokok tidak akan senang duduk jika tidak merokok dalam tempoh tiga atau empat jam. Jika ditahan keinginan itu akan menyebabkan perasaan tidak tenteram dan tidak dapat melakukan tugasan lain. Hal ini kerana tubuh perokok telah terbiasa dengan nikotin. Nikotin merupakan sejenis dadah yang terkandung dalam sebatang rokok yang membuatkan penggunanya akan terasa ketagih selepas 2 atau 3 jam menghisapnya.


Saya yakin, semua perokok tahu risiko negatif menghisap rokok, terutamanya untuk kesihatan diri. Malah pihak kerajaan juga telah mewajibkan syarikat pengeluar rokok supaya mempamerkan gambar-gambar yang ‘agak menakutkan’ kesan merokok. Persoalannya, kenapa masih ramai yang terus merokok? Setiap hari ada sahaja perokok baru yang muncul termasuk kanak-kanak dan remaja. Beberapa bulan lepas, berita gempar dengan seorang kanak-kanak yang baru berumur 2 tahun yang sudah pandai menghisap rokok. Mengapa hal ini terjadi? Kejadian ini berlaku di Musi Banyuasin, Indonesia. Budak ini bernama Ardi Rizal. Dia mampu menghabiskan 40 batang rokok sehari. 

Menurut ibunya, Ardi mengalami ketagihan yang teruk sehinggakan dia akan  menjerit dan menghentakkan kepalanya di dinding jika tidak diberikan rokok.

Ardi hanya menghisap satu jenama rokok sahaja, dan dalam masa sehari keluarganya terpaksa menanggung kos sebanyak 3.78 pound iaitu lebih daripada RM20. 

Oleh sebab jahil dalam soal kesihatan, bapanya seorang nelayan memberitahu wartawan bahawa anaknya tampak sihat dan dia tidak melihat sebarang masalah terhadap kelakuan anak kecilnya itu.

Aduhai, adakah anda boleh menjangkakan keadaan budak ini, jika dia masih merokok untuk beberapa tahun akan datang?
  smoking 2 year old budak umur 2 tahun merokok

Merokok bukan sahaja memudaratkan diri si perokok, tetapi ianya juga mengancam kesihatan orang di persekitaran termasuk keluarganya. Kajian juga mendapati kesan asap rokok lebih mudarat kepada orang lain berhampiran yang menghidu asap rokok tersebut berbanding si perokok itu sendiri. Ini bukan sahaja cubaan membunuh dirinya sendiri, malah perokok juga mampu membunuh orang lain kerana perbuatan ‘kotor’ yang dilakukannya. Sabda Rasulullah s.a.w, “Tidak boleh (menimbulkan) bahaya dan tidak boleh pula membahayakan orang lain.” (Riwayat Ibnu Majah) .


Bagaimanapun yang menghairankan kebanyakan individu, perokok boleh menahan diri daripada merokok selama 12 jam dalam bulan Ramadan bermula dari sahur sehinggalah berbuka puasa. Perkara ini juga tidak dapat dijawab dengan ilmu sains, melainkan mengakui itulah keberkesanan puasa meningkatkan keimanan dan ketakwaan dalam diri manusia.

Ini menjelaskan ketagihan merokok dapat diatasi sekiranya minda kita menguasai dan meyakinkan tidak boleh merokok dalam tempoh berpuasa kerana ia akan membatalkan puasa. Hakikatnya perokok mampu menahan diri daripada merokok dalam tempoh kira-kira 12 jam dan perkara tersebut merupakan kejayaan yang besar buat perokok yang betul-betul berhasrat untuk berhenti daripada merokok.

Pakar psikologi menjelaskan ketagihan merokok sebenarnya lebih dikuasai oleh minda dan perasaan. Ketagihan merokok sebenarnya dikuasai oleh rasa meluap-luap untuk terus merokok. Hal ini yang menjadikan masalah besar dalam diri perokok untuk menyekat diri daripada merokok.

Ketika berpuasa, segala kekuatan dan tumpuan diberikan untuk menghalang diri daripada melakukan perbuatan membatalkan puasa, termasuklah merokok. Jadi, secara tidak langsung ketagihan merokok akan hilang.

Sekiranya selama ini perokok mendakwa terpaksa merokok kerana ketagih, mengapa pula ketika berpuasa tidak menunjukkan tanda-tanda ketagihan?
Sekiranya 12 jam mampu bertahan, keupayaan yang sama perlu diteruskan. Jika ketika berpuasa tidak merokok kerana tidak mahu membatalkan puasa, tanamlah azam untuk tidak merokok selepas berbuka atau cuba mempraktikkan diri daripada merokok dalam bulan sebulan Ramadhan ini.

Waktu berbuka hendaklah dimulai dengan makan dan minum, bukannya merokok. Selesai berbuka, bersegeralah menunaikan solat Maghrib dan elakkan daripada memberi ruang masa untuk memikirkan keinginan merokok.

Selesai menunaikan fardhu solat, eloklah berdoa kepada Allah swt agar memberi kekuatan diri menjauhkan diri dari tabiat merokok. Sesungguhnya doa dan usaha yang dilakukan pada bulan Ramadan amat mudah dimakbulkan oleh Allah swt.

Setelah itu, perbanyakkanlah masa dengan melakukan ibadat lain seperti melakukan solat sunat dan membaca al-Qur'an sementara menunggu solat Isyak di masjid secara berjemaah dan diikuti solat tarawih. Insya-Allah, segala amalan yang kita lakukan akan dinilai dan direstui Illahi.

Apabila pulang ke rumah, jangan biarkan fikiran dan perasaan dibelenggu dengan rokok. Cuba terus memperjuangkan diri untuk tidak bersama rokok dan sebaiknya elakkan diri berada bersama-sama orang yang merokok.



Thursday, February 18, 2010

salam ukhwah....

assalamualaikum wrt....

Salam Ukhwah buat sahabat2 yang berada di bawah perlindungan Allah Taala selalu...
Semoga adanya blog saya ni,, blh lah kita sentiasa berhubung selalu... sebenarnya, blog ni dah lama di ilhamkan, cuma tuan punya blog ni jer yang tak merealisasikannya.. hehehe.. baru sekarang rasa terpanggil nak aktifkannya sikit demi sedikit.. Harap-harap, sahabat-sahabat dapat menyokongnya walau dah rasa cuak ngan muka ni... hahaha....

mudah-mudahan kerinduan yang kita pendamkan bersama,, terukir bersama dalam memori sebuah persahabatan....

salam persahabatan hakiki..
nieQ_ayunie