BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, August 23, 2010










ADUHAI,,, SUSAHNYA BANGUN SAHUR…….

Rasulullah SAW bersabda, “Sahur adalah makanan berkah, maka jangan kalian tinggalkan walaupun salah seorang dari kalian hanya meneguk seteguk air, kerana Allah dan para malaikat berselawat terhadap orang-orang yang bersahur”.
( Hadis riwayat Ibnu Abu Syaibah dan Ahmad)



Sahur bermaksud bangun dalam tempoh menjelang fajar dan sebelum subuh untuk menjamu sedikit makanan bagi menunaikan ibadah puasa pada keesokan harinya. Amalan bersahur merupakan salah satu amalan sunnah yang diamalkan oleh Rasulullah.

Jadi, bersahur merupakan satu amalan yang penting bagi seseorang yang berpuasa terutamanya dalam bulan yang penuh barakah iaitu Ramadhan al-Mubarak. Namun, tidak ramai yang mengambil berat dalam soal bersahur kerana bagi mereka amalan ini hanya sunat sahaja. Mereka malas untuk membangkitkan diri untuk menjamah makanan walau ingin berpuasa pada keesokkan harinya. Kita perlu sedar bahawa sebenarnya amalan bersahur ini penting untuk kesihatan walau  hukumnya adalah sunat.

Sabda Rasulullah saw bermaksud : “Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada berkat.”
 (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, Tarmizi Nasai dan Ibnu Majah)


Hadis ini menyatakan amalan sahur dikaitkan dengan keberkatan yang mempunyai rahmat, kebaikan serta restu Illahi.
Amalan sahur ini merupakan satu ibadah yang membezakan puasa umat Islam dengan puasa orang Yahudi dan Nasrani (ahli kitab). Oleh itu, tidak hairanlah jika puasa umat Islam itu boleh dikatakan lain dari yang lain dan lebih sempurna berbanding agama lain kerana mempunyai amalan sahur. 

Sabda Rasulullah saw bermaksud : “Makanlah Sahur, sekalipun dengan seteguk air. 
 (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Hadis di atas menyarankan umat Islam agar menitik beratkan amalan bersahur samada menjamah sedikit sahaja makanan ataupun minuman walaupun hanya seteguk air.

Selain daripada bersahur, kita juga disarankan supaya melambatkan waktu bersahur kerana ianya juga salah satu amalan yang turut dilakukan oleh Rasulullah saw dan para sahabat. Ia juga turut dikategorikan sebagai satu amalan sunat di sisi agama Islam. 

Sabda Rasulullah saw : “Sentiasa umatku dalam kebaikan selama mereka mahu bersegera berbuka puasanya dan mengakhirkan makan sahurnya”
 (Riwayat Imam Ahmad)

Melambatkan sahur di sini bermaksud bersahur ketika menghampiri waktu Subuh. Terdapat kajian menyatakan pengambilan makanan yang paling baik dalam waktu 24 jam ialah sarapan pada awal pagi. Bersarapan pagi amat penting bagi masyarakat bagi memelihara taraf kesihatan seseorang berbanding pengambilan makanan pada waktu lain. Kajian oleh Dr. Mark Pereira dan rakannya dari Pusat Perubatan Harvard mendapati mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi untuk menjadi gemuk, mengalami sakit jantung dan juga berisiko menghidap penyakit kencing manis.

Kajian sama juga menunjukkan mereka yang sentiasa bersarapan pagi pula bakal menanggung risiko 50 peratus lebih rendah diserang masalah kesihatan berkaitan lebihan gula dalam darah berbanding dengan mereka yang jarang mengamalkan sarapan pagi.

Oleh itu, daripada kajian ini bolehlah ditafsirkan betapa pentingnya bersahur pada waktu pagi terutamanya terhadap kanak-kanak yang berpuasa. Hal ini kerana, kanak-kanak bakal mendapat kesan yang lebih negatif jika tidak mendapatkan bekalan untuk perut pada waktu pagi memandangkan mereka masih kecil dan mempunyai metabolisma yang belum kuat.

Kajian terkini menunjukkan apabila glukosa dalam darah menurun selepas bangun tidur dan keadaan ini berterusan kerana tidak bersarapan pagi, kanak-kanak bakal menghadapi masalah memberi tumpuan terhadap pelajaran mereka.

Tambahan daripada itu, satu kajian oleh Dr Theresa Nicklas dari Kolej Perubatan Baylor dan rakannya ke atas 700 pelajar di Louisiana, menunjukkan mereka yang tidak bersarapan pagi menanggung risiko dua kali ganda mengalami kekurangan zat besi dalam darah. Keadaan ini akan menyebabkan penyakit anemia (penyakit berkaitan kekurangan hemoglobin dalam darah). Hal ini dilaporkan oleh Kerry Neville dari Chicago Tribune pada 24 September 2001.

Natijahnya, mereka yang berpuasa tanpa mengabaikan amalan sahur tidak akan mendapat kemudaratan terhadap puasa mereka berdasarkan kajian itu. Lebih daripada itu, bersahur adalah ibadah kerana ia adalah sunnah dan waktu sahur juga masa yang dipenuhi keberkatan.





0 ulasan: